Monday, June 22, 2009

Rabu, 1.30pm - 3.30pm

Latihan Kefahaman_W2_3NA/P2/MYE07

BAHAGIAN C (26 MARKAH)


ARAHAN: Baca dengan teliti petikan karangan yang berikut.


Prinsip hidup Cik Bee Bee S. Marican mudah, tetapi berat : Belajar sepanjang hayat. Baginya, untuk keluar dari jaringan kemiskinan hidup keluarganya, hanya ada satu cara sahaja iaitu dengan ‘berpendidikan’. Sungguhpun sudah berusia 53 tahun dan bekas seorang guru, beliau berusaha melanjutkan pelajaran bagi mencapai impiannya menjadi peguam.

Enam daripada sebelas orang adik-beradiknya lulus dalam bidang
undang-undang di universiti tempatan dan luar negeri. Dua orang adiknya lulus dalam bidang pentadbiran pengurusan. Daripada sebelas orang adik-beradiknya itu, lapan orang daripadanya mempunyai ijazah pengajian tinggi. Inilah yang menjadi kebanggaan keluarganya.

Sebagai anak kedua dalam keluarga yang ramai itu, beliau telah
memulakan tugasnya sebagai guru sebaik saja lulus dalam Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’, walaupun kelulusannya membolehkan beliau melanjutkan pelajaran. Bagaimanapun, memandangkan ramai adik-beradiknya yang masih bersekolah, beliau bekerja dahulu sebagai guru. Di sinilah bermula kerjayanya selama 30 tahun itu hinggalah beliau bersara dua tahun yang lalu, iaitu lebih awal daripada usia persaraannya, kerana sakit kaki dan untuk menjaga ibunya yang sakit serta memerlukan penjagaan rapi.

“Saya masih ingat lagi pesanan orang tua kami, meskipun kita tidak mampu tetapi anak-anak tetap ke sekolah, kerana pelajaran adalah segala-galanya untuk keluar dari lingkaran hidup yang susah ini,” katanya. Allahyarham bapanya adalah seorang peniaga. “Perniagaan bapa seringkali mengalami turun naik. Sebab itulah bapa menggalakkan kami agar maju dalam pelajaran,” ceritanya lagi. Di peringkat awal Cik Bee Bee mendapat galakan daripada ibunya. Setelah berumahtangga, suaminya pula mendorong beliau agar terus gigih belajar untuk mencapai cita-citanya.

“Tanggungjawab sebagai seorang guru memang berat. Yang penting ialah cara kita menguruskan masa iaitu sebagai pendidik, di rumah pula sebagai isteri dan ibu serta sebagai pelajar. Saya menghabiskan masa untuk keluarga selama satu dua jam setiap hari, kemudian barulah saya mengulang kaji bagi memperbaiki dan meningkatkan pelajaran saya,” tambahnya.

Beliau telah menuntut di Universiti London hingga mendapat Sarjana Kepujian dan kemudian diterima sebagai peguamcara di Lincoln’s Inn, London. Sekembalinya di tanah air, beliau bekerja dengan Sadari Musari & Partners.

Menurut Cik Bee Bee, pengalamannya sebagai seorang guru banyak membantu mendisiplinkan dirinya dari segi masa untuk mengajar dan belajar serta menjalankan peranan sebagai isteri dan ibu. Beliau menghabiskan masa lima hingga lapan jam di sekolah. Menjelang waktu peperiksaan beliau mengulang kaji pelajaran dari lapan malam hingga dua pagi. Pada masa yang sama beliau turut membantu anak tunggalnya mengulang kaji pelajaran.
Di sepanjang tugasnya sebagai seorang peguam, beliau juga bergiat sebagai seorang pengacara sukarela di Mahkamah Syariah selama lapan bulan pada tahun lalu dan juga di Mahkamah Keluarga sejak 3 tahun lepas.

(Dipetik dan diubahsuai daripada Berita Harian 2002 )



ARAHAN: Berdasarkan petikan karangan ini, jawab soalan-soalan berikut. Seberapa yang boleh, gunakan ayat-ayat kamu sendiri. Kemudian, tulis jawapan kamu di ruangan 'comments' di bahagian bawah.


31 Nyatakan bukti yang menunjukkan Cik Bee Bee sebagai seorang yang berjaya? (3 markah)


32 Bagaimanakah Cik Bee Bee mengaturkan masanya yang terhad itu? (4 markah)


33 Nyatakan dua sifat terpuji Cik Bee Bee. Berikan contoh untuk menyokong jawapan kamu. (6 markah)


34 Cik Bee Bee berjaya biarpun berasal daripada keluarga yang besar. Pada pendapat kamu, apakah kebaikan yang dapat diraih membesar di dalam keluarga yang besar? (6 markah)


35 Terangkan maksud perkataan yang berikut berdasarkan penggunaannya dalam teks.

i. jaringan kemiskinan (baris 2)
(2 markah)

ii. pengajian tinggi (baris 9)
(2 markah)

iii. bergiat (baris 43)
(2 markah)

Jumlah penuh: 26 markah
Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment